Thursday, July 30, 2009

SEJARAH MAAHAD ADDAWAH AL ISLAMIYYAH



1. MUQADDIMAH – SEJARAH PENUBUHAN

Setelah hampir 15 tahun berdakwah dan menjelajah ke seluruh Malaysia temasuk pengalaman tinggal di negara-negara arab, Ustaz Haji Subri bin Haji Md Arshad mempunyai pendapat dan pandangannya yang tersendiri tentang dakwah. Menurut beliau dakwah adalah usaha memanggil dan mengajak manusia kepada Allah. Iaitu dengan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau menegaskan bahawa sesiapa yang tidak meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat hidupnya, mereka tidak akan selamat hidupnya di dunia dan di akhirat .

Atas kesedaran rasa tanggungjawab tersebut beliau mula mengorak langkah menubuhkan Ma’had Adda’wah lelaki pada tahun1998, untuk melahirkan para daie’ (pelapis). Beliau melihat usaha melahirkan daie’ merupakan perkara yang perlu diberikan keutamaan sebagai tanggungjawab kaum muslimin. Atas rasa tanggungjawab itu, beliau merayu umat Islam membantu beliau menyiapkan ma’had tersebut sehingga beroperasi dengan jayanya pada awal 2001. Setelah tujuh tahun beroperasi di kawasan yang agak terhad, ditambah dengan arus kebangkitan Islam yang tidak boleh disekat ujud keperluan untuk menubuhkan kompleks Ma’had Adda’wah yang serba lengkap dengan prasarana terkini dan canggih. Ianya akan menjadi mercu tanda kekuatan dakwah dan syiar Islam.

Atas usaha dan sokongan orang ramai, maka terkumpul sejumlah dana Rm500,000 bagi menyiapkan beberapa fasa pembinaan bangunan di pusat pengajian Ma’had Adda’wah Al- Islamiyyah pada tahun 2000 yang merangkumi pembinaan bangunan 2 tingkat untuk kelas, asrama dan surau lelaki. Diikuti pada tahun 2007, sejumlah dana RM2 juta dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai untuk pembinaan seterusnya yang merangkumi :-

a) Fasa pertama projek ini telah berjalan lancar dengan terbinanya sebuah bangunan tiga tingkat untuk Ma’had Adda’wah Perempuan.
b) Diikuti fasa kedua, membabitkan pembinaan sebuah dewan besar utama.
c) Fasa ketiga membabitkan pembinaan rumah guru dan rumah musafir.
d) Fasa keempat adalah menambah pembelian tanah berhampiran kompleks untuk menjadi aset pada masa akan datang.

Keseluruhan perkara yang dirancang itu dengan pelbagai kemudahan yang difikirkan perlu dari masa ke semasa adalah untuk mengujudkan sebuah sistem kehidupan Islam yang lengkap. Adalah diharapkan kompleks tersebut menjadi pusat pembelajaran dakwah dan model contoh kehidupan umat Islam serta akan sentiasa diziarahi oleh umat Islam dari seluruh dunia.

Dengan siapnya fasa ke empat tersebut maka terbinalah satu pusat pengajian yang dikunjungi dan diterima oleh masyarakat untuk sama-sama memakmurkan Ma’had seperti mana yang dijangkakan. Namun begitu kemudahan dan prasarana yang betul –betul lengkap belum lagi dapat dilaksanakan kerana masih kekurangan peruntukan. Maka sumbangan seterusnya dari pihak yang berkaitan seperti Pusat Urus Zakat dan sumbangan dari orang perseorangan dan organisasi lain amat diperlukan bagi mencapai matalamat tersebut.

No comments:

Post a Comment